Saturday, November 12, 2011
CONTOH BAHAN P&P TAHAP 1
MAKROPENGAJARAN KPD 3026
KELAS | Pemulihan Tahun 1 |
HARI | Rabu |
TARIKH | 12 Oktober 2011 |
MASA | 8.30Pg – 9.00 Pg |
SUBJEK | Bahasa Melayu Pemulihan |
TAJUK | Perkataan Diftong dan Vokal Berganding |
KBBK | Melihat, mengecam, mengenal, mengeja, menyebut dan mengingat. |
BBB | Carta permainan, senikata lagu dan lembaran menulis berpandu |
PENGGABUNGJALINAN | Muzik, Pendidikan Moral, Sains dan Matematik |
PENYERAPAN NILAI | Tolong-menolong, sopan-santun, mengikut arahan dan bersungguh-sungguh. |
KEMAHIRAN | Perkataan Yang Melibatkan Diftong dan Vokal Berganding ‘ kerbau, kaloi, tupai’. |
OBJEKTIF | Di akhir pengajaran dan pembelajaran murid boleh ; a) Mengeja dan membunyikan terus perkataan ‘kerbau, kaloi, tupai’ dengan betul. b) Menulis tiga perkataan berpandukan gambar dengan betul. |
ISI KANDUNGAN | AKTIVITI | IMPAK/CATATAN |
29.1 Perkataan Yang Melibatkan Diftong dan Vokal Berganding | 1. Guru membuat beberapa aksi dan meminta murid memberi respon apa yang berlaku: Aksi 1 : Kesakitan akibat terpijak paku. Aksi 2 : Memanggil rakan dengan perkataan yang kurang sopan. Aksi 3 : Bertegur sapa dengan rakan. | Penekanan penggunaan sukukata diftong ‘au‘ ‘oi’ dan ‘ai’ Nilai : -Bersopan-santun -Tolong-menolong |
2. Murid bermain permainan ‘Lompat Sayangku Lompat’. Arahan : -Murid dikehendaki melompat ketinting setiap petak pada carta permainan . -Murid perlu melihat, mengecam, mengenal, mengeja dan membunyikan terus perkataan yang dipaparkan pada carta permainan sacara individu. | BBB : Carta Permainan (suku kata ditulis dengan warna yang berbeza) Contoh : - kerbau - kaloi - tupai Nilai : -mengikut arahan -bersungguh-sungguh | |
3. Murid mengisi huruf yang tertinggal berpandukan gambar di dalam lembaran kerja yang diberikan denganbimbing a n guru. | BBB : Lembaran kerja Contoh : k e r _ _ _ k a _ _ _ t u _ _ _ | |
4. Murid menyanyikan lagu ‘Bunyi Huruf’ dengan bimbingan guru. Senikata Lagu : Bunyi Huruf a u, a u, au bunyinya. a i, a i, ai bunyinya. o i, o i, oi bunyinya. au, ai, oi, itu bunyinya. | Nilai : -bersungguh-sungguh - bersopan-santun BBB : Senikata lagu |
REFLEKSI PENGAJARAN
Makropengajaran ini telah dijalankan pada murid tahun 1 kelas pemulihan khas di Sekolah Datuk Kelana. Sebelum menjalankan makropengajaran, saya terlebih dahulu telah membuat rancangan pengajaran harian dan membuat beberapa tinjauan untuk memilih kaedah yang terbaik untuk mengajar tajuk ini iaitu, perkataan diftong dan vokal berganding. Lazimnya tajuk ini sering menjadi masalah besar kepada guru pemulihan khas untuk mengajar kerana murid sukar untuk membatangkan perkataan yang mempunyai suku kata diftong dan vokal berganding. Saya memilih tajuk ini kerana ia adalah sambungan daripada tajuk mikropengajaran yang telah saya lakukan. Saya mengharapkan objektif pengajaran saya tercapai kerana murid telah mempunyai pengetahuan sedia ada mengenai tajuk ini.
Saya mensasarkan pada akhir pengajaran dan pembelajaran, murid boleh mengeja dan membunyikan 3 patah perkataan diftong dengan betul iaitu kerbau, kaloi dan tupai. Disebabkan masa pengajaran terhad selama 30 minit dan murid saya juga kebanyakannya mempunyai masalah ingatan jangka pendek, maka saya hanya menetapkan 3 patah perkataan sahaja dan disusuli dengan latih tubi mengeja menggunakan kaedah bermain.
Pada awalnya saya menjangkakan murid-murid saya pasti bermasalah untuk melakukan aktiviti ini, namun jangkaan saya meleset sama sekali. Berdasarkan aktiviti ‘Lompat Sayangku Lompat’ dan latihan bertulis, saya dapati mereka dapat mengeja dan membunyikan 3 perkataan diftong dengan jelas, betul dan cepat. Objektif pengajaran saya tercapai dengan jayanya. Oleh yang demikian, secara spontan saya telah mengubah sedikit rancangan pengajaran saya dengan melakukan aktviti pengukuhan dan pengayaan. Saya mendapat idea cara untuk melaksanakan aktiviti pengukuhan dan pengayaan apabila terfikirkan tema pengajaran iaitu permainan tradisional. Saya mengaplikasikan cara bermain lompat ketinting dalam pengajaran saya iaitu dengan membaling dadu dan melompat pada petak yang tertera nombor pada dadu tersebut.
Murid saya melibatkan diri secara produktif dan aktif dalam setiap aktiviti yang telah saya rancang. Mereka kelihatan seronok, gembira dan bersaing di antara satu sama lain untuk melakukan lompatan dan seterusnya mengeja dengan betul. Walaubagaimanapun, saya merasakan sekiranya pengajaran saya ini divariasikan lagi dengan alatan atau sumber-sumber sokongan lain seperti tayangan video, slaid PowerPoint, objek maujud, serta muzik, makropengajaran saya pasti lebih menarik lagi.
Pengajaran merupakan satu proses rumit yang memerlukan pelbagai kemahiran mengajar yang diintegrasi dan dilaksanakan secara bersepadu dan harmoni bagi membantu pembelajaran berlaku secara berkesan. Jika saya diberi kesempatan untuk mengajar tajuk pelajaran ini sekali lagi pada murid-murid ini, saya pasti akan merancang dan menyediakan lebih banyak aktiviti tambahan. Saya akan cuba mempelbagaikan kemahiran mengajar seperti kaedah memulakan pengajaran termasuk mencungkil idea, menyoal, menerang, memperkukuh, mengilustrasi dengan contoh, membuat demonstrasi, mengendali perbincangan, mengendali kerja amali,dan menutup pengajaran sesuai dengan murid saya yang terdiri dari pelbagai latar belakang.
Kesimpulannya, kaedah pengajaran yang berkesan merupakan tonggak kejayaan seseorang murid. Jika murid merasakan kaedah pengajaran yang diterima adalah berkesan, maka ini akan secara tidak langsung mempengaruhi pencapaian akademik murid. Penggunaan kaedah dan strategi yang pelbagai akan menjadikan sesuatu pengajaran itu menarik dan akan memberi ruang untuk membolehkan murid terlibat secara aktif dan bergiat sepanjang sesi pengajaran tanpa merasa jemu dan bosan. Dalam pengajaran dan pembelajaran murid-murid pemulihan khas, terdapat beberapa kaedah dan teknik yang berkesan boleh digunakan oleh guru. Oleh yang demikian, pemilihan terhadap kaedah dan teknik perlulah dilakukan secara teliti supaya murid-murid dapat mengembangkan potensi yang ada pada diri mereka.